Nuffnang ads

Nuffnang ads..klik je..tak kena bayar pun..

Ahad, 24 Julai 2011

Tuntutlah ilmu jika ingin kepuasan sejati


GENERASI hari ini seharusnya sedar ilmu pengetahuan dan kemahiran dapat meningkatkan keupayaan dalam semua bidang. Mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan akan dapat memacu negara ke arah negara maju berpendapatan tinggi dengan lebih cepat. Oleh itu, menyiapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran sangat penting dalam kehidupan sekarang.

Setiap ilmu dapat dipelajari sama ada di rumah, di sekolah dan di universiti. Ilmu juga boleh dipelajari melalui pembacaan dan ceramah dan sebagainya. Pendek kata, pelbagai bidang dan cara untuk menambahkan ilmu pada masa kini semakin bertambah. Percambahan ilmu dapat dilakukan dalam kehidupan pada setiap masa.

Secara khusus membina generasi berilmu mesti bermula sejak seseorang itu lahir diikuti dengan peringkat satu hingga enam tahun melalui pendidikan awal kanak-kanak di taska atau tadika, kemudian di peringkat sekolah rendah pada usia tujuh hingga 12 tahun, sekolah menengah 13 hingga 17 tahun dan seterusnya prauniversiti dan universiti.

Bagaimanapun, ilmu yang dipelajari di sekolah dan universiti belum cukup bagi seseorang memahirkan diri dalam sesuatu bidang. Mereka mesti mempelajari pelbagai ilmu dan kemahiran bagi meningkatkan kualiti diri.


Kini, bidang kemahiran dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sangat penting dikuasai generasi muda apabila memasuki sektor pekerjaan. Secara jelas, 90 peratus pekerjaan kini kebanyakannya menggunakan kemahiran ICT.

 Berkaitan usaha mendalami ilmu dan cara mempelajari ilmu daripada orang berilmu mengikut tafsiran tokoh Islam terdahulu sangat jelas. Renungkan ingatan Sayidina Umar Al-Khattab, “Pelajarilah ilmu, pelajarilah ilmu, bagi ketenteraman, ketetapan hati dan kelembutan jiwa. Tunduklah dengan merendahkan diri kepada guru kamu.”

Seseorang yang berilmu dipanggil alim atau ilmuwan. Alim bermaksud mempunyai pengetahuan yang mendalam khususnya tentang agama Islam dan mengetahui sesuatu bidang manakala ilmuwan bermaksud golongan akademik, orang-orang berilmu atau ilmuwan. Oleh itu, ilmu itu sesuatu perkara yang bermanfaat dan dapat digunakan dalam kehidupan.

Imam As-Syafie mengatakan ilmu merupakan sesuatu yang bermanfaat dan bukan sesuatu yang hanya dihafal.

Jelaslah, kemanfaatan ilmu dapat meningkatkan kehidupan ummah dan dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Tanpa ilmu setiap bidang yang diceburi tidak akan menghasilkan kebaikan apa-apa.

Menurut Abdullah bin Ibnu Abas, ilmu itu didapati dengan lidah yang gemar bertanya dan akal yang suka berfikir.

Usaha untuk mendapatkan pengetahuan adalah dengan mengetahui bahawa kita tidak berpengetahuan. Berusaha mencari ilmu adalah jalan terbaik bagi meningkatkan taraf hidup diri, keluarga dan masyarakat.

Sementara menurut Ibnu Rusyd, kepuasan jiwa kerana mencari pengetahuan merupakan kepuasan sejati dan abadi.

Konsep ilmu pengetahuan dalam Islam sangat jelas. Islam memandang ilmu pengetahuan sebagai sesuatu yang sangat penting. Hal ini dapat dibuktikan dengan merujuk kepada ajaran Islam yang didasarkan kepada al-Quran dan sunnah.
Islam memerintahkan umatnya mencari ilmu pengetahuan supaya kehadiran mereka di dunia ini mampu memenuhi ciri-ciri kepentingan biologi manusia sebagai khalifah Allah.

Jelaslah, Islam menyuruh umatnya menjadi seorang manusia terpelajar supaya benar-benar berjaya mengambil tempat yang sewajarnya sebagai khalifah Allah (pemimpin sekalian alam semesta) yang benar-benar dikehendaki.

Dalam Islam jelas menunjukkan tidak terdapat pertentangan di antara Islam dan ilmu pengetahuan. Bahkan Islam mengandungi banyak ilmu pengetahuan. Islam adalah agama cinta kepada ilmu, menyuruh penganutnya mencari ilmu di mana saja seseorang itu berada tanpa mengambil kira faktor umur, tempat dan pangkat.

Seterusnya, konsep belajar sepanjang hayat juga digalakkan oleh Islam. Islam menyuruh memperkembangkan ilmu untuk dimanfaatkan kepada semua manusia di muka bumi ini. Ilmu yang disuruh dituntut tidak hanya terbatas pada ilmu ibadah, malah merangkumi seluruh aspek ilmu untuk urusan dan pentadbiran dunia dan akhirat.

Islam meletakkan nilai orang berilmu itu pada pendengaran, penglihatan dan akal fikiran yang akan diminta dipertanggungjawabkan di sisi Allah. Orang yang berilmu pengetahuan dapat dibezakan melalui apa yang diucapkan. Manusia dapat mencapai taraf yang lebih baik jika mempunyai ilmu pengetahuan yang lebih daripada orang lain dalam masyarakatnya.

Justeru, Allah mengangkat darjat (pangkat) orang yang beriman dan mempunyai ilmu pengetahuan kepada beberapa darjat. Oleh sebab itu, ilmu yang disertai dengan amal dan ibadah akan menaikkan imej seseorang.

Bidang pendidikan dan pekerjaan kini sangat berkait rapat. Ini disebabkan dalam masyarakat sekarang terdapat pertalian di antara kelulusan pendidikan dengan tahap pekerjaan. Begitu juga terdapat pertalian di antara pekerjaan dengan taraf sosial. Salah satu ciri utama masyarakat perindustrian moden ialah setakat mana kemasukan ke dalam beberapa bidang pekerjaan ditambah berasaskan kepada kebolehan untuk mendapatkan kelulusan pendidikan yang perlu.

Ilmu yang diperoleh melalui sistem pendidikan sebagai satu cara untuk meninggikan status sosial dan ekonomi bukan perkara baru. Justeru, ilmu yang disertai dengan kemahiran tinggi akan dapat meningkatkan sektor pekerjaan yang diceburi seseorang. Nabi s.a.w. mengingatkan, “Tuntutlah ilmu dan belajarlah (untuk ilmu) ketenangan dan kehormatan diri dan bersikap rendah hati kepada orang yang mengajar kamu.” (Riwayat At-Tabrani).

Hakikatnya, membina generasi warisan yang berilmu mesti bermula sejak seseorang itu masih kecil dan berterusan hingga dewasa. Ilmu dan kemahiran akan dapat ditambah melalui pengalaman dalam bidang pekerjaan yang diceburi. Kepentingan ilmu dalam apa bidang sekalipun sangat penting dititikberatkan dalam budaya ilmu kepada setiap orang khususnya generasi muda.


Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu


sumber : Harian Metro

3 comments:

Ar Rumaisa berkata...

Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Malaikat-malaikat sentiasa menurunkan sayapnya (sebagai memuliakan dan menghormati) penuntut ilmu agama, kerana mereka suka dan bersetuju dengan apa yang penuntut itu lakukan."Abu ad-Darda' r.a
p/s: moh2 tuntut ilmu slagi nyawa masih ada =D

haniey berkata...

erm btul tu..ilmu sgt pnting.. :)

Hiddy Asri berkata...

selamat menjalani ibadah puasa!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...